Kerajaan Lubnan bubar, seminggu selepas letupan

BEIRUT, 11 OGOS – Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab mengumumkan pembubaran kerajaannya hari ini di bawah tekanan bertubi-tubi berhubung bencana letupan dahsyat di pelabuhan Beirut enam hari sebelumnya yang mencetuskan bantahan jalanan.

“Saya mengumumkan peletakan jawatan kerajaan,” kata Diab pada penghujung ucapannya yang disiarkan dalam televisyen yang menggambarkan dirinya juga mangsa atas perbuatan elit politik yang korup.

Pengumuman itu disambut dengan bunyian hon kereta di jalan-jalan raya dan mercun-mercun perayaan di bandar utara Tripoli namun kelihatannya ia belum lagi memenuhi jangkaan tempoh panjang penduduk Lubnan.

Malah ketika Diab berucap, pasukan keselamatan di tengah Beirut bertempur selama tiga malam dengan para pembantah menuntut penamatan sistem politik kukuh yang secara meluasnya dilihat sebagai tidak cekap, korup dan didominasi oleh kepentingan sektarian dan dinasti keluarga.

Presiden Perancis Emmanuel Macron yang mengunjungi Beirut selepas letupan itu, menyeru bagi ‘pembentukan segera’ kerajaan baharu.

“Penyataan aspirasi daripada penduduk Lubnan dari segi reformasi dan pentadbiran perlu didengarkan,” kata Menteri Luar Negeri Perancis, Jean-Yves Le Drian, menambah bahawa kerajaan baharu perlu ‘membuktikannya’ kepada rakyat.

Bagaimanapun kerajaan yang bubar ini akan kekal dalam kapasiti pentadbir dan pilihan raya baharu akan mengambil masa beberapa bulan akan datang. Sebelum pengumuman Diab, empat menteri sudah pun memutuskan yang mereka tidak lagi berkhidmat untuk kerajaan yang tidak menunjukkan sedikit pun kesediaan untuk bertanggungjawab ke atas mangsa korban. – AFP

Mercun dilontarkan oleh para pembantah meletup di hadapan polis rusuhan di tengah Beirut pada 10 Ogos. Perdana Menteri Lubnan, Diab mengumumkan pengunduran pentadbiran kerajaannya di tengah bantahan marah orang awam. – AFP