Kerajaan Malaysia berusaha bawa pulang rakyat terkandas

PUTRAJAYA, 6 JULAI – Kerajaan sedang berusaha untuk memudah cara kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Kementerian Luar telah mengenal pasti 10,484 rakyat Malaysia yang terkandas serta berpotensi untuk terkandas di luar negara.

“Maksud berpotensi terkandas adalah seperti pelajar tahun akhir yang akan habiskan pengajian tidak lama lagi, dan mereka perlu pulang. Jika mereka tidak boleh pulang, mereka akan jadi rakyat kita yang terkandas,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata terdapat beberapa kekangan peraturan di negara-negara berkenaan termasuk melarang pesawat asing untuk mendarat di negara terbabit.

Ismail Sabri berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah meminta Kemen-terian Luar membentangkan status rakyat Malaysia yang berada di luar negara yang dianggarkan 457,000 orang.

Daripada jumlah itu, beliau berkata 387,702 individu telah berdaftar dengan perwakilan-perwakilan Malaysia, dan menyeru rakyat yang masih belum berdaftar untuk segera berbuat demikian. – Bernama