KUALA LUMPUR, 28 JUN – Rakyat Malaysia daripada golongan miskin tegar, B40, M40 dan T20 hari ini menerima perkhabaran gembira dengan pengumuman pelbagai bantuan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM150 bilion.
Ia merupakan kesinambungan daripada tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional sejak pandemik COVID-19 melanda negara awal tahun lepas.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat pengumuman khas menerusi siaran stesen televisyen tempatan berkata PEMULIH menumpukan tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.
Memahami ramai yang berdepan dengan masalah kewangan pada masa ini, Perdana Menteri mengumumkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang bernilai RM4.9 bilion sehingga hujung tahun; serta pemberian Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah dan golongan bujang dan Bantuan Kehilangan Pendapatan.
“Secara keseluruhan, pemberian khas BKC ini dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan RM4.6 bilion,” katanya.
Perdana Menteri berkata Bantuan Kehilangan Pendapatan bagi pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), bakal memanfaatkan sehingga sejuta ahli dengan implikasi kewangan RM500 juta.
Permintaan majoriti rakyat untuk moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan serta pengeluaran KWSP turut mendapat perhatian kerajaan.
“… sukacita saya umumkan, dengan kerjasama pihak bank, moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro. Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan. Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik,” katanya. – Bernama