Kerajaan M’sia, pembangkang lakar sejarah

KUALA LUMPUR, 13 SEPT – Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) hari ini melakar sejarah apabila buat pertama kali menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata memorandum membentuk satu kerjasama dwipartisan menjulang semangat Keluarga Malaysia dengan enam agenda.

Beliau berkata agenda berkenaan merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen,  kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.  Katanya, ia juga selaras titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

“Titah hasrat Baginda Tuanku, semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia makmur, inklusif dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan dikeluarkan sebaik memorandum itu selesai ditandatangani perdana menteri bersama ketua-ketua parti PH di Parlimen, membabitkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. -Bernama