Kerajaan M’sia rakam ucapan takziah

KUALA LUMPUR, 25 OKT – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi pihak kerajaan Malaysia hari ini merafak sembah takziah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kemangkatan putera Baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim semalam.

Muhyiddin, dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebooknya, turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Al-Marhum dan mendoakan Baginda dan seluruh kerabat diraja sekalian serta rakyat Brunei tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Al-Marhum dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.– Bernama