Kerajaan M’sia umum pakej Kita Prihatin RM10 bilion

KUALA LUMPUR, 23 SEPT – Kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif dan bantuan tambahan di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN) membabitkan peruntukan berjumlah RM10 bilion seiring dengan usaha memulihkan ekonomi demi menjamin kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pakej tambahan itu meliputi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 yang berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 sebanyak RM2.4 bilion dan Geran Khas Tambahan bernilai RM600 juta.

Menurutnya, pakej itu menyasarkan empat golongan utama iaitu B40 yang berkeluarga dan bujang; golongan M40 yang berkeluarga dan bujang; pekerja negara dalam pelbagai bidang dan peniaga mikro dalam pelbagai bidang.

“Sejak awal lagi, kerajaan berazam untuk menjadi pentadbiran yang prihatin – sebuah kerajaan yang bukan sahaja memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat, tetapi juga bertindak dengan cepat dan cekap untuk mengatasi cabaran-cabaran yang menggugat kesejahteraan rakyat dan negara.

“Kerajaan mesti bersikap prihatin kerana inilah yang diperlukan oleh rakyat jelata, lebih-lebih lagi pada zaman yang amat mencabar ini,” katanya dalam pengumuman khas Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (KITA PRIHATIN) yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan dan menerusi platform media sosial hari ini. – Bernama