KOTA KINABALU, 3 JAN – Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan bantuan kewangan kepada mangsa banjir di Sabah dalam masa terdekat, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan mengumumkan setiap keluarga yang terjejas banjir akan diberi Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000.
“Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bantuan kewangan untuk mangsa banjir di Sabah akan disalurkan dengan segera,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat khas pasukan petugas pengurusan bencana banjir monsun timur laut yang diadakan secara maya hari ini dan dipengerusikan oleh Ismail Sabri.
Pada mesyuarat itu, Hajiji memberi taklimat kepada Perdana Menteri tentang situasi banjir di enam daerah iaitu Kota Marudu, Pitas, Paitan, Ranau, Sandakan dan Telupid. – Bernama