Friday, October 11, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerajaan Persekutuan beri keutamaan bina jalan di Kapit

    KAPIT, 29 SEPT – Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberi keutamaan bagi pembinaan beberapa projek jalan di Bahagian Kapit, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata antaranya ialah projek pembinaan jalan menghubungkan Nanga Semaram di Kanowit ke Kapit, sejauh 72 kilometer.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata fasa pertama pembinaan jalan itu dijangka bermula tahun hadapan dan beliau telah meminta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk menyegerakannya.

    “Saya minta Alexander (Nanta Linggi) untuk mulakan persiapan (pembinaan) tahun ini, agar kita boleh mula segera.

    “Tahun depan kita (sediakan) peruntukan untuk mula fasa satu dan saya percaya selewat-lewatnya akhir tahun depan atau tahun 2026 (pembinaan bakal bermula),” katanya berucap pada majlis ramah mesra pemimpin komuniti masyarakat Kapit, hari ini. 

    Selain Nanta, program yang diadakan di Dewan Suarah Kapit itu turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Sementara itu, mengulas mengenai peranan Sarawak dalam Malaysia, Anwar berkata kejayaan yang dikecapi Bumi Kenyalang kini juga merupakan kejayaan buat Malaysia.

    “Sarawak pada 30, 40 tahun yang lepas merupakan antara negeri paling miskin (di Malaysia), tetapi sekarang Sarawak dianggap sebagai negeri berpotensi dan mempunyai kekuatan terutama dalam bidang tenaga.

    “Kejayaan Sarawak ini merupakan kejayaan kita semua, kerana apa yang Sarawak capai boleh dinikmati oleh semua,” katanya.

    Pada lawatan kerja sehari ke Kapit hari itu, Perdana Menteri turut merasmikan majlis pecah tanah projek baharu pembangunan Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit dan mendengar taklimat mengenai pembinaan jambatan merentasi Sungai Batang Rajang di Nanga Yong. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Pemimpin Komuniti Masyarakat Daerah Kapit pada 29 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda