Kerajaan Sarawak bantu bayar caruman setahun i-Suri

KUCHING, 6 JULAI – Kerajaan Sarawak akan membantu membayar caruman RM60 setahun bagi setiap wanita yang mendaftar dalam Program Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) di negeri ini, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Katanya Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sudah bersetuju secara prinsip untuk menyalurkan bantuan itu memandangkan ada kalangan pencarum i-Suri ini, terutamanya yang tinggal di luar bandar, terpaksa menempuh perjalanan jauh ke bandar semata-mata untuk membayar caruman itu secara ansuran antara RM10 dan RM20.

“Ketua Menteri telah bersetuju dan memberitahu saya untuk membuat pengiraan (berkenaan jumlah peruntukan yang diperlukan) untuk membantu mereka yang sudah mendaftar dengan i-Suri ini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Menurutnya setiap pencarum i-Suri yang membayar caruman ini akan menerima insentif khas RM480 setahun dari kerajaan pusat yang dimasukkan dalam akaun Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) mereka. – Bernama