Kerajaan sedia kemudahan skim jaminan RM50 bilion

KUALA LUMPUR, 27 MAC – Kerajaan akan menyediakan kemudahan skim jaminan berjumlah RM50 bilion dengan jaminan sehingga 80 peratus daripada jumlah pinjaman bagi tujuan membiayai keperluan modal kerja, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata skim tersebut akan diuruskan dan tertakluk kepada penilaian kredit oleh Danajamin Nasional Bhd.

“Kemudahan ini disasarkan kepada perniagaan yang berdaya maju dalam semua sektor yang menghadapi kesukaran akibat wabak COVID-19,” kata Muhyiddin semasa mengumumkan Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) di sini, hari ini.

Menurutnya, saiz minimum pinjaman yang layak dijamin ialah RM20 juta bagi setiap perniagaan dan kemudahan ini akan disediakan untuk pemohonan mulai 1 Mei sehingga 31 Disember 2020, atau sehingga dana jaminan digunakan sepenuhnya.

Dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan hari ini, kerajaan telah memberi suntikan sebanyak RM250 bilion dengan matlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik COVID-19.

Daripada jumlah ini, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara. – Bernama

Orang awam mengikuti siaran langsung pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sebanyak RM250 billion oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika tinjauan di ibu kota, kelmarin. – Bernama