Kerajaan serius pacu ekonomi digital pada 2020

PUTRAJAYA, 27 JAN – Kerajaan serius memacu ekonomi digital bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Selain itu, beliau berkata ekonomi digital berupaya berperanan sebagai faktor penarik kepada pelabur, pembinaan modal insan dan penyelidikan.

“Transformasi Malaysia kepada Ekonomi Digital hanya boleh direalisasikan sekiranya rakyat mengamalkan budaya digital dan mengambil bahagian dalam urus niaga digital yang menjurus ke arah masyarakat tanpa tunai,” katanya.

Beliau berkata antara langkah yang diambil bagi memacu ekonomi digital ialah pengenalan inisiatif e-Tunai Rakyat, dengan sejumlah RM450 juta disalurkan melalui pengendali e-dompet terpilih bagi menggalakkan penggunaan bayaran tanpa tunai dalam kalangan rakyat.

“Sistem bayaran tanpa tunai ini bukan sahaja lebih efisien, bahkan dapat membantu mengurangkan kejadian pengelakan cukai,” katanya dalam amanat tahun baharunya kepada warga Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Lim berkata kerajaan akan turut membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk membentuk Malaysia Digital menerusi kerjasama awam swasta, melibatkan pelaburan sebanyak RM21.6 bilion, dengan kerajaan akan membiayai sekurang-kurangnya separuh daripada kos keseluruhan.

Beliau berkata kerajaan juga akan memperkenalkan Geran Pembangunan Ekosistem 5G berjumlah RM50 juta dalam usaha menggalakkan pembangunan teknologi oleh syarikat bagi menghadapi gelombang perubahan 5G di seluruh dunia. – Bernama