‘Kerajaan tumpu pulihkan ekonomi negara’

KUALA LUMPUR, 10 JULAI – Kerajaan akan menumpukan usaha memulihkan ekonomi negara dalam tempoh setahun, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antara-bangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata kerajaan perlu bekerja keras meman-dangkan unjuran Bank Negara Malaysia meletakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah perlahan iaitu pada -2 peratus hingga 0.5 peratus tahun ini.

Sekiranya usaha itu lambat digerakkan, Malaysia tidak mungkin mampu mencatatkan angka pertumbuhan ekonomi yang positif, katanya.

“Tetapi berdasarkan usaha yang dibuat sekarang termasuk pakej rangsangan ekonomi, Insya-Allah kita boleh mencapai satu tahap yang lebih positif pada tahun depan.

“Jadi sekurang-kurangnya dalam setahun ini, kita perlu memberikan tumpuan kepada usaha untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Gombak (JTPD) di Selayang di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata kerajaan telah memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sebagai usaha mengurangkan kesan pandemik COVID-19 dan kedua-duanya memberikan hasil positif.

Mohamed Azmin berkata usaha memulihkan ekonomi harus diteruskan meman-dangkan pelaburan baharu dapat mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia dan memberikan kesan kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat. – Bernama

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) melihat bingkai pintu sambil mendengar penerangan dari Pengarah Urusan Stellar Focus Sdn Bhd Hamzah Mahmood (kanan) ketika mengadakan lawatan kerja ke kilang tersebut di Kampung Sungai Tua, Batu Caves, kelmarin. – Bernama