LONDON, 11 MAC – Kerajaan United Kingdom (UK) hari ini bertindak membekukan aset dan melakukan sekatan perjalanan ke atas pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich sekali gus menyebabkan rancangannya untuk menjual juara kelab Eropah dan dunia itu terjejas.
Pemilik pasukan Liga Perdana Inggeris itu salah seorang daripada tujuh oligarki Rusia yang dikenakan sekatan termasuk bekas rakan perniagaannya, Oleg Deripaska.
Individu lain yang dikenakan sekatan adalah Ketua Eksekutif Rosneft, Igor Sechin yang disifatkan kerajaan Britain sebagai ‘orang kanan’ Vladimir Putin dan Ketua Gazprom, Alexei Miller. Turut dalam senarai itu termasuk pengerusi bank VTB, Andrey Kostin; Presiden Transneft, Nikolai Tokarev dan Pengerusi Bank Rossiya, Dmitri Lebedev.
London menjelaskan ketujuh-tujuh mereka mempunyai nilai bersih aset keseluruhan kira-kira £15 bilion dan menggambarkan semuanya sebagai sebahagian daripada kroni Putin.
Perdana Menteri Boris Johnson menyebut sekatan itu sebagai ‘langkah terbaharu dalam sokongan tidak berbelah bahagi UK kepada rakyat Ukraine.’ Setiausaha Luar, Liz Truss menambah: “Sekatan hari ini menunjukkan sekali lagi bahawa oligarki dan kleptokrat tidak mempunyai tempat dalam ekonomi atau masyarakat kita.
“Dengan hubungan rapat mereka dengan Putin, mereka terbabit dalam pencerobohannya. Darah rakyat Ukraine berada di tangan mereka.”
Abramovich pada minggu lalu mengumumkan bahawa dia akan menjual Chelsea, selepas membeli pasukan Liga Perdana Inggeris itu pada 2003 dan pembiayaannya membawa kejayaan di peringkat domestik dan Eropah. – AFP