Kerana kanser, Marshanda dah siap wasiat untuk anak

Baru-baru ini Marshanda mendedahkan dirinya kini sedang menderita kanser payudara dan sedang menjalani rawatan lanjut di Singapura.

Disebabkan penyakit tersebut menjadi semakin teruk, Marshanda atau nama sebenarnya Andriani Marshanda, 32, sudah pasrah dengan apa yang bakal terjadi.

Bekas isteri kepada Ben Kasyafani ini reda sekiranya dia bakal menemui ajal kelak dan yakin Allah SWT akan menjaga anak perempuannya iaitu Sienna Ameerah Kasyafani.

“Kalau saya mati, saya reda.

“Bukan saya yang menjaga Sienna, bahkan juga bukan Ben atau Mama Inez. Tetapi Allah yang memelihara anak kecil ini,” jelasnya yang gemar disapa Chacha.

Namun, pelakon drama Benci Bilang Cinta ini tidak akan melepaskan anak tunggalnya itu dengan begitu sahaja dan telah menyiapkan wasiat untuk ditinggalkan nanti.

“Wasiat yang ditinggalkan merupakan sebuah lagu khas buat Sienna. Lagu ini boleh membuatkannya lebih dekat dengan Yang Maha Esa,” ujarnya.

Artis berketurunan Minangkabau ini menjelaskan dia tidak meninggalkan harta kerana ingin anaknya membesar sebagai seorang yang pandai berdikari.

Menurut Marshanda, lagu yang dihasilkan juga mengandungi pegangan hidup buat Sienna yang kini berusia sembilan tahun.

“Saya mahu dia belajar hidup sendiri dan bagi saya wasiat berupa sebuah lagu itu merupakan perkara yang bagus.

“Lagu itu juga bakal menjadi pegangan hidupnya nanti kerana ia menjelaskan sebuah kehancuran yang menyimpan kebangkitan,” kongsinya dalam satu sidang media atas talian. – Agensi

Marshanda tidak akan melepaskan anak tunggalnya itu dengan begitu sahaja dan telah menyiapkan wasiat berupa lagu untuk ditinggalkan nanti. – Agensi