Keranda batu berusia 3,500 tahun ditemui

KAHERAH, 28 NOV – Tiga sarkofagus atau keranda batu berusia 3,500 tahun yang masih dalam keadaan baik, ditemui di kawasan perkuburan lama di El-Assasif di Mesir, lapor berita Sputnik.

Menurut Kementerian Antikuiti kelmarin, keranda purba berukuran 180-195 sentimeter itu dihiasi dengan lukisan berwarna-warni.

Dua keranda mengandungi jasad wanita manakala mayat dalam keranda ketiga masih dianalisis. Keranda batu itu dipercayai dibuat pada era purba Dinasti Mesir ke-18 (Thutmosid), yang memerintah dari 1550-1292 Sebelum Masehi.

Kawasan perkuburan lama itu terletak berhampiran bandar Luxor, yang juga dikenali sebagai Thebes. Pernah menjadi ibu kota satu daripada kerajaan Mesir ketika itu. – Bernama