KUALA LUMPUR, 28 Jun – Majlis Halal Malaysia menyasar untuk melancarkan kerangka strategiknya menjelang akhir tahun ini yang memberi tumpuan kepada usaha pemerkasaan syarikat halal tempatan di peringkat global selain meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) Datuk Seri Jamil Bidin (gambar) berkata majlis yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kini dalam proses menyiapkan kerangka yang dapat memacu Malaysia melangkaui status Hab Halal Global pada 2020.
“Kerangka ini di bawah Pelan Induk 2.0 pembangunan industri halal negara bagi tempoh 2018-2030. Kita perlukan pelan ini kerana (pelan) yang digunakan sebelum ini sudah pun berusia kira-kira sedekad iaitu daripada 2008-2020.
“Malah banyak perkembangan yang berlaku dalam industi halal ini dan kita tidak mahu menunggu sehingga 2020 untuk melancarkan perancangan baharu,” katanya kepada Bernama.
Antara objektif utama Majlis itu adalah menangani pelbagai isu berkaitan industri halal dan peranan itu turut dibahagikan antara yang membabitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan HDC.
JAKIM akan menumpukan kepada aspek pensijilan, tadbir urus dan hal berkaitan Syariah manakala HDC pula memberi fokus kepada usaha memperluas dan mengantarabangsakan industri halal.
Mengulas selanjutnya, Jamil berkata selain HDC dan JAKIM, Majlis itu turut diterajui oleh Jabatan Standard Malaysia yang merupakan badan tunggal standard dan akreditasi kebangsaan.
Menurutnya, kesemua badan halal di bawah pelbagai industri akan disatukan di bawah Majlis itu bagi memperkukuhkan keberkesanan dan pengeluaran barangan halal secara maksimum serta meletakkan Malaysia sebagai peneraju pengeluaran produk halal. – Bernama