Kerani akaun Yayasan pecah amanah dipenjara

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Seorang kerani akaun di Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan pecah amanah membabitkan wang Yayasan berjumlah lebih $12,000.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid telah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Hajah Norizan binti Haji Pudin, 46, yang mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah semasa bertugas sebagai kerani akaun di Yayasan.

Tertuduh pada beberapa kejadian antara 1 Februari 2006 dan 28 Februari 2007 telah menggelapkan wang bernilai $1,007.02 yang dibayar ke Sekolah YSHHB sebagai deposit pendaftaran sekolah pelajar.

Kemudiannya tertuduh turut mencuri wang deposit bagi pendaftaran sekolah pelajar berjumlah $4,416.28 secara berasingan antara 1 Julai 2007 dan 30 Januari 2008. Tertuduh pada kejadian 1 September 2008 dan 10 Mac 2009 sekali lagi telah menyalahgunakan sejumlah $7,205.98 yang dibayar sebagai ansuran bulanan oleh pemilik rumah di bawah Skim Perumahan Yayasan di Kampung Bolkiah A dan B.

Bagaimanapun, perbuatan tertuduh terbongkar apabila siasatan dalaman dilakukan, dedah Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latiff semasa perbicaraan kes tersebut.

Pihak pengurusan Yayasan memanggil tertuduh pada 6 April 2009 bagi memberi tertuduh peluang untuk membayar kembali wang yang sudah digelapkan.

Sehingga 11 Mei 2009, tertuduh telah membuat penggantian sebanyak $2,500 tanpa penggantian semula lainnya walaupun berjanji akan melunaskan dengan membuat pembayaran bulanan. Pada 17 Oktober 2018, pengarah urusan Yayasan telah membuat laporan polis berhubung kes-kes pecah amanah termasuk defendan.