Kerani lesap wang kena lapan bulan penjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Seorang kerani pentadbiran yang mengaku bersalah melakukan pecah amanah melibatkan wang $17,775 dijatuhi hukuman lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret.

Hukuman terhadap Norwidyawati binti Haji Mokti, 44, dijatuhkan oleh Hakim Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli pada 17 Ogos lalu.

Tertuduh yang ketika itu ditugaskan di Bahagian Polis Kawalan Diraja, Pasukan Polis Diraja Brunei mengaku menggelapkan wang yang diterima daripada pegawai dan anggota polis untuk tabung kebajikan dan sukan.

Dia melakukan kesalahan itu antara November 2016 dan April 2017.

Tertuduh yang sepatutnya menyerahkan wang tabung itu, telah menggunakannya untuk perbelanjaan peribadi dan turut meminjamkan wang itu kepada seorang anggota beruniform.

Sehingga Julai 2019, tertuduh telah membayar sepenuhnya wang yang dilesapkan itu.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Latiff.