Kerat tangan untuk tuntut insurans

LJUBLJANA, SLOVENIA, 11 SEPT – Mahkamah Slovenia hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun ke atas seorang wanita berusia 22 tahun kerana dengan sengaja memotong tangannya dengan menggunakan gergaji agar dapat membuat tuntutan insurans palsu.

Mahkamah di daerah Ljubljana berkata Julija Andlesic bersetuju dengan kekasihnya untuk memotong tangan kirinya sehingga di bahagian atas pergelangan di rumah mereka di ibu kota pada awal tahun 2019. Dia didapati bersalah atas cubaan untuk membuat penipuan insurans.

Setahun sebelumnya, dia menandatangani perjanjian dengan lima buah syarikat insurans berbeza, menurut mahkamah. Wanita tersebut dikatakan menerima lebih dari 1 juta euro, kira-kira separuh pembayaran telah diberikan kepadanya dan selebihnya dibayar secara ansuran bulanan.

Teman lelakinya dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun sementara ayahnya menerima hukuman setahun penggantungan.

Kedua-dua mereka telah membawa wanita itu ke hospital, dan mengatakan dia mengalami kecederaan semasa memotong dahan.

Pihak berkuasa berkata mereka meninggalkan tangan yang dikerat di rumah daripada membawanya ke hospital untuk memastikan kecacatan kekal. Tetapi pihak polis berjaya menjumpainya dan ia telah disambung semula.

Pendakwa raya berkata beberapa hari sebelum kejadian, rakan Andlesic mencari maklumat dalam internet mengenai bagaimana tangan artifisial berfungsi. Mereka mendakwa bahawa ini adalah satu lagi bukti ia dilakukan secara sengaja.

Semasa perbicaraan, wanita tersebut mengaku tidak bersalah, mengatakan dia tidak akan memotong tangannya dengan sengaja. – AFP