‘Keratang’ seberat 160kg ditangkap di perairan Labuan

LABUAN, 27 SEPT – Ikan kerapu gergasi atau dikenali oleh penduduk tempatan sebagai ‘keratang’ seberat 160 kilogram (kg) berjaya ditangkap di sini, dan dijual dengan harga RM8,000 kepada sebuah restoran makanan laut, Fishermen Harbour Restaurant di Paragon, semalam.

Dullah Latif, 64, berkata beliau mengarahkan pekerjanya ke perairan Marine Farms (kira-kira 100 batu nautika dari Labuan) untuk memancing pagi Sabtu, apabila mereka dikejutkan dengan kemunculan ikan gergasi itu, Ahad.

“Selepas lebih 30 minit ‘bergelut’ dengan joran, akhirnya barulah kelibat ikan itu kelihatan di permukaan, dan sebaik sahaja mereka nampak (ikan), mereka menjerit kegembiraan, dan mulanya mereka tidak sedar betapa sukar untuk membawa ikan itu naik… tiga orang diperlukan untuk menaikkan ikan itu ke dalam bot,” katanya.

Kerapu yang ditangkap itu berukuran lebih dari tujuh kaki (2.1 meter) panjang.

Menurut nelayan tempatan, ikan gergasi dari keluarga kerapu itu boleh hidup 30 hingga 50 tahun. – Bernama