TUTONG, 4 Januari 2002 – Penduduk kampung merungut kerana di sepanjang Jalan Kampung Biong menuju ke Kampung Panchong Tutong dipenuhi oleh najis kerbau yang selalunya merayau pada sebelah malam hingga ke subuh.
Menurut salah seorang penduduk kampung yang ditemui, kerbau berkenaan sering berkeliaran di sepanjang jalan di antara kedua buah kampung berkenaan.
Ada penduduk kampung terpaksa menghalau kerbau berkenaan serta membersihkan najis yang ditinggalkan di atas jalan raya.
Bau najis yang ada di atas jalan raya juga mengganggu penduduk kampung berhampiran serta tidak elok dipandang kerana jalan kampung berkenaan adalah salah satu jalan utama menuju ke Taman Warisan Tasek Merimbun.
































