Kerbau mati mengejut, bukan kejadian pertama – veterinar

KUALA TERENGGANU, 14 SEPT – Kejadian kerbau mati secara mengejut sepertimana yang menimpa keluarga ‘Kampung Boy’ bukanlah yang pertama di Terengganu tahun ini, malah penternak lain turut menerima nasib hampir sama.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu Dr Mohd Tarmizi Ghazali berkata pada 9 hingga 28 Ogos lepas, seramai 13 penternak turut diuji dengan musibah itu, melibatkan kematian 22 ekor kerbau dan 15 ekor lembu, di Kampung Tuman Jerong, Marang.

Beliau berkata pihaknya mengesan terdapat jangkitan penyakit hawar berdarah atau ‘hemorrhagic septicemia’ pada haiwan berkenaan dan susulan itu, operasi pemvaksinan dilakukan bermula 30 Ogos di 12 kampung, ke atas 675 ekor lembu dan 58 kerbau, milik 106 penternak.

Namun, Dr Mohd Tarmizi berkata bagi kes kematian 36 ekor kerbau milik keluarga ‘Kampong Boy’ atau nama sebenarnya Muhammad Syukur Khamis, 15, ia masih terlalu awal untuk diputuskan kerana pihaknya sedang menunggu keputusan ujian sampel haiwan berkenaan daripada pihak makmal. – Bernama

Muhammad Syukur Khamis atau lebih dikenali dengan jolokan ‘Kampung Boy’ atau ‘Mowgli Malaysia’ kelihatan sedih apabila 36 ekor kerbau milik bapanya didapati mati seekor demi seekor sejak Rabu lepas. – Bernama