ULASAN OLEH RUZAINI HJ DAUD
SIKAP ego dalam diri seseorang individu sering dikatakan menjadi antara punca yang seringkali menyebabkan sesuatu perbalahan itu berlaku.
Maka, sikap tersebut yang digambarkan pada watak Lee Yoo-chan lakonan Suho dalam sebuah siri drama terbaharu berjudul Rich Man yang turut diadaptasi daripada sebuah siri drama popular Jepun berjudul Rich Man Poor Man yang pernah ditayangkan pada tahun 2012.
Lee Yoo-chan merupakan seorang Ketua Pegawai Eksekutif bagi sebuah syarikat pembina permainan video terkemuka, Next In.
Salah satu sikap utama yang sangat dibenci oleh kebanyakan pekerja yang bertugas di bawahnya adalah sikap egonya yang terlalu tinggi sehingga tidak dapat menerima sebarang pembaharuan dan idea baharu yang dilontarkan walaupun hakikatnya ada di antaranya boleh dianggap cukup bernas.
Secara keseluruhan, Lee Yoo-chan boleh dianggap sebagai seorang ketua yang hanya melakukan tugas berdasarkan konsep mementingkan diri sendiri dan tidak akan pernah mengendahkan pendapat daripada orang lain.

Hakikatnya, sebagaimana dengan individu lain dia juga memiliki kelemahan iaitu sukar untuk mengingati wajah individu yang ditemuinya.
Sementara Kim Bo-Ra lakonan Ha Yeon-soo adalah merupakan seorang wanita yang berasal dari sebuah kawasan perkampungan di Pulau Jeju.
Kepintaran yang dimilikinya sering menjadi satu kebanggaan kepada seluruh penduduk kampungnya dan menggalakkan dia untuk terus menimba pengalaman kerja di Seoul.
Dari situ, wanita cantik tersebut telah bertekad memburu impiannya untuk bertugas di syarikat permainan video terkemuka milik Lee Yoo-chan.
Menyedari akan sikap ego yang dimiliki oleh lelaki tersebut adakah Kim Bora yang memiliki sikap rendah hati ini bakal berjaya meraih peluang untuk bertugas di syarikat terkemuka tersebut.
Maka, untuk mengetahui kesudahannya jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Rich Man sehingga ke penghujungnya.