COPENHAGEN, 25 OKT – Sekurang-kurangnya seorang maut dan empat cedera apabila sebuah kereta api yang bergerak di sepanjang pantai utara Norway tergelincir kelmarin bersama 55 orang di dalamnya, kata polis.
Kereta api Arctic Circle Express sedang dalam perjalanan dari Trondheim ke bandar terpencil utara Bodoe, di atas Lingkaran Artik, apabila ia terkeluar dari landasan di lereng gunung. Polis berkata mereka telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut pada jam 12:15 GMT.
Empat orang yang cedera dibawa ke hospital berdekatan, namun keadaan mereka tidak jelas. Penumpang yang tidak cedera dibawa menaiki bas ke bandar Mo i Rana, 228 kilometer di selatan Bodoe.
Polis memberitahu agensi berita Norway, NTB bahawa geluncuran batu mungkin menyebabkan kereta api itu terkeluar dari landasan, yang terdiri daripada lokomotif dan lima gerabak.
Akhbar VG menyiarkan gambar batu besar di atas landasan yang telah menghentam salah satu gerabak kereta api.
Salah seorang penumpang, Ingvart Strand Molster, memberitahu penyiar Norway, NRK bahawa sebiji batu telah menghempap kereta api tetapi tiada sesiapa dalam gerabaknya yang cedera, kecuali seorang yang mengalami kecederaan ringan pada buku lali.
Seorang penumpang lain memberitahu akhbar tempatan, Avisa Nordland orang ramai telah dipindahkan melalui tingkap. Media Norway memetik penumpang yang berkata bahawa kereta api itu membrek secara tiba-tiba, menyebabkan penumpang terpelanting di dalam gerabak.
Penumpang, Sissel Troan memberitahu NRK kejadian membrek itu ‘sangat dramatik.’
“Saya terbang melintasi seorang lelaki dan memecahkan sebuah meja di hadapan kami.
Tetapi saya bernasib baik dan tidak mengalami kecederaan. Saya hanya berasa terkejut,” kata Troan. – AP