BERLIN, 8 Mei – Sebuah kereta api penumpang merempuh sebuah lori yang terkandas di laluan landasan kereta api di utara Jerman hari ini, mencederakan 12 orang dan dua daripadanya cedera parah, kata polis.
Kemalangan itu berlaku sekitar jam 4:30 pagi (0230 GMT) di kawasan penyeberangan di Alt Duvenstedt, berhampiran Flensburg, mengakibatkan kereta api serantau yang membawa 22 penumpang itu tergelincir dari landasan.
“Semua mangsa cedera dikejarkan ke hospital,” kata jurucakap polis kepada AFP, menambah salah seorang mangsa cedera telah diterbangkan menggunakan helikopter ke hospital di bandar pelabuhan Kiel. Nahas itu berlaku apabila lori yang menarik 70 tan peralatan berat itu terkandas pada jalan penyeberangan. Pemandu melompat keluar sebelum ia berlanggar, kata polis memberitahu agensi berita DPA.
Polis berkata ia masih tidak jelas kenapa trak itu terkandas di tempat penyeberangan.
Akibat impak pelanggaran itu, ia telah memusnahkan hadapan kereta api.
Perjalanan kereta api antara Flensburg dan Hamburg dijangka akan tergendala hari ini, kata polis, kerana kemusnahan pada laluan dan landasan.
“Kereta api khas dari (operator landasan negara) Deutsche Bahn akan datang untuk memperbaiki kereta api yang tergelincir itu untuk berfungsi semula,” jurucakap polis memberitahu akhbar harian Bild.
“Namun trek tempat nahas itu berlaku akan kekal ditutup beberapa jam kerana dasar lapisan landasan telah terjejas.”
Oktober lalu, sekitar 16 orang cedera dalam kemalangan serupa antara kereta api serantau dan lori di Sipplingen, berhampiran Tasik Constance, selatan Jerman. – AFP