Kereta api bertembung ragut 11 nyawa

MULTAN, PAKISTAN, 11 JULAI – Sebuah kereta api penumpang merempuh kereta api pengangkutan di selatan Pakistan hari ini, membunuh sekurang-kurangnya 11 orang dan mencedera 80 yang lain, kata pegawai.

Kereta api pengangkutan sedang berhenti di lintasan apabila kereta api penumpang yang memecut laju melanggarnya di Stesen Kereta Api Walhal di Rahim Yar Khan, di timur wilayah Punjab. Menurut seorang pegawai kanan kerajaan Jamil Ahmed, hospital mengisytiharkan kecemasan dan sedang menerima mangsa korban daripada pelanggaran.

Ahmed berkata beberapa penumpang cedera disenarai dalam keadaan kritikal.

Perdana menteri Imran Khan segera mengarahkan pihak berkuasa supaya memberikan rawatan perubatan yang terbaik mungkin kepada mangsa. Dalam satu kenyataan, beliau melahirkan kesedihan mendengar berita tersebut.

Khan mengarahkan Menteri Kereta Api Sheikh Rashid Ahmad supaya ‘mengambil langkah kecemasan untuk mengatasi pengabaian infrastruktur kereta api berdekad lamanya’ dan memastikan standard keselamatan.

Pihak berkuasa berkata tentera Pakistan juga sedang mengambil bahagian dalam usaha menyelamat.

Kemalangan kereta api biasa terjadi di Pakistan disebabkan infrastruktur kereta api yang lemah dan kecuaian pihak berkuasa kereta api. – AP

Anggota menyelamat Pakistan dan penduduk setempat berkumpul mengelilingi bangkai gerabak di tapak kemalangan kereta api di daerah Rahim Yar Khan di wilayah Punjab kelmarin. – AFP