Kereta api China-Eropah pemangkin eksport komoditi selatan Xinjiang

BEIJING, 21 JUN – Sos tomato, aprikot, kacang walnut dan biji bunga matahari merupakan antara produk istimewa selatan Xinjiang menjadi komoditi utama eksport ke Asia Tengah dan Eropah menerusi perkhidmatan kereta api kargo China-Eropah.

Menurut statistik kastam daerah Wuchang, Xinjiang, jumlah perjalanan kereta api kargo dari selatan Xinjiang ke negara Asia Tengah dan Eropah termasuk Kazakhstan, Itali, Jerman dan Rusia yang direkodkan adalah sebanyak 46 kali, dari September 2019 hingga kini.

Ia sekali gus menjadikan catatan jumlah pengangkutan kargo seberat 50.8 ribu tan metrik dengan nilai sebanyak RMB555 juta (RM355.97 juta).

Menurut kastam, para petani dari kawasan Hotan, Kashgar dan Aksu turut mengubah modus operandi perniagaan masing-masing.

Bagi mereka, pilihan utama ketika ini adalah untuk memasarkan produk istimewa tersebut ke Asia Tengah dan Eropah menerusi kereta api kargo China-Eropah yang berkeupayaan tinggi.

Mengikut kaedah sebelum ini, hasil pertanian Xinjiang biasanya dihantar ke pelabuhan Tianjin di timur China, sebelum diangkut ke Eropah melalui laluan laut.

Kini, produk Xinjiang dapat dihimpunkan di pusat kereta api China-Eropah di Urumqi dan terus dieksport ke luar negara, di samping menjimatkan masa pengangkutan sehingga 50 peratus serta kebarangkalian barang rosak turut berkurangan.

Selain itu, kastam Urumqi turut menyediakan kaunter khas perkhidmatan kereta api kargo China-Eropah dan ia beroperasi 24 jam sehari.

Dalam pada itu, sistem ‘kastam digital’ menerusi kerjasama kastam dengan jabatan kereta api membantu memudahkan prosedur kelulusan kastam dan mengurangkan masa hentian kereta api di sempadan. – Bernama