Kereta api dua negara mula operasi

PHNOM PENH, Kemboja, 22 April – Para pemimpin Kemboja dan Thailand bertemu hari ini di bandar sempadan Aranyaprathet, Thailand untuk menandakan majlis pembukaan semula rangkai-an landasan kereta api yang akan menghubungkan dua negara itu selepas lebih empat dekad.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan rakan sejawatannya dari Thailand, Prayuth Chan-ocha, menaiki perjalanan singkat menyeberang sempadan dari Aranyaprathet ke Poipet Kemboja untuk meraikan majlis perasmian tersebut.

Kedua-duanya juga menyodok simen bagi menandakan siapnya jambatan rentas sempadan berdekatan untuk trafik automotif.

Pegawai Thailand berkata perkhidmatan kereta api rentas sempadan dijangka dipulihkan tidak lama lagi.

Kedua-dua pemimpin menandatangani persetujuan ke atas operasi rangkaian landasan kereta api rentas sempadan.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen (kiri) melambai di samping Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha ketika mereka menaiki kereta api semasa majlis pembukaan landasan kereta api yang menghubungkan Kemboja dan Thailand di wilayah Banteay Meanchey pada 22 April. – AFP

Thailand membantu membiayai rangkaian Kemboja dan juga akan menyerahkan kereta api dengan empat gerabak.

Perkhidmatan antara kedua-dua negara digantung pada awal 1970an apabila landasan itu musnah semasa perang saudara Kemboja.

Hanya pada akhir tahun 1990an keselamatan sepenuhnya dipulihkan dengan kekalahan tentera gerila Khmer Rouge, Kemboja.

Kerja pemulihan di Kemboja sudah selesai dari Poipet ke wilayah barat laut Sisophon, yang mempunyai perkhidmatan kereta api ke bandar Phnom Penh.

Terdapat rancangan untuk menawarkan perkhidmatan ke Phnom Penh dari ibu negara Thailand, Bangkok, tetapi belum ada jadual untuk membuka semula laluan itu.

Perkhidmatan itu akan diintegrasikan ke dalam rancangan serantau untuk menghubungkan sebahagian besar daratan Asia Tenggara dari Kunming di selatan China melalui apa yang disebut Koridor Ekonomi Selatan.

Hun Sen berkata pada majlis hari ini bahawa operasi kereta api baharu itu akan membantu membangunkan ekonomi kedua-dua negara, terutamanya dengan menghubungkan ke seluruh rantau Asia Tenggara. – AP