Kereta elektrik NIO intai pasaran Barat

BEIJING, 20 OGOS – Jenama kereta elektrik China NIO merancang berkembang ke pasaran Barat pada tahun depan dan mungkin mengeksport perkhidmatan tukaran bateri yang mungkin membantunya bersaing dengan Tesla, kata pengerusi syarikat hari ini.

NIO, ditubuhkan pada 2014, menangguhkan rancangan luar negara disebabkan pandemik koronavirus, beritahu William Li kepada pemberita. Beliau berkata syarikat sedang mengkaji pasaran yang mana satu untuk dimulakan dan bagaimana menstrukturkan operasinya.

“Mudah-mudahan, pada separuh tahun kedua tahun depan, kami boleh memulakan beberapa peninjauan kecil di negara-negara di mana kenderaan elektrik (EV) adalah popular,” kata Li. “Kami ingin bermula dengan negara Eropah.”

NIO Inc ialah jenama harga premium paling berpengaruh di China dalam industri kenderaan elektrik dengan puluhan pesaing termasuk firma baharu, pengeluar kereta milik kerajaan dan usaha sama dengan rakan asing.

Parti Komunis telah mempromosi kenderaan elektrik dengan subsidi berjuta-juta dolar ditawarkan yang menjadikan China pasaran EV terbesar, menyumbang kepada separuh daripada jualan global. Subsidi dijangka berakhir tetapi telah dilanjutkan sehingga 2022 untuk membantu pengeluar mengatasi pandemik.

NIO, dengan pelabur awalnya termasuk syarikat gergasi teknologi China Tencent, Baidu dan Lenovo, telah bergelut dari segi kewangan tetapi Li berkata syarikat adalah lebih stabil tatkala jualan meningkat.

Syarikat kerugian AS$164 juta pada suku berakhir Jun tetapi berkata jualan dua model SUV, dengan harga sehingga 370,000 yuan, meningkat kepada 10,331. Model ketiga, sebuah kereta coupe, akan dijual pada September. – AP

Seorang kanak-kanak bergambar bersebelahan kereta lumba yang dipamerkan di kedai NIO di Beijing kelmarin. – AP