Kereta kebal Israel serang Hamas di Gaza

BAITULMAQDIS, 30 OGOS – Kereta kebal Israel menyerang Hamas di semenanjung Gaza hari ini, kata tentera, ketika serangan belon dari Palestin di seberang sempadan berlanjutan walaupun terdapat usaha gencatan senjata antarabangsa.

Satu kenyataan tentera mengatakan terdapat serangan letupan pembakar udara ke selatan Israel kelmarin.

“Sebagai tindak balas terhadap kejadian yang sedang berlangsung, beberapa saat yang lalu kereta kebal menyerang pos tentera milik organisasi pejuang Hamas di selatan semenanjung Gaza,” kata kenyataan itu.

Tidak ada laporan korban jiwa. Israel telah mengebom Gaza hampir setiap hari sejak 6 Ogos, sebagai tindak balas terhadap alat pembakar udara dan roket dilancarkan melintasi sempadan.

Bom api yang dipasang pada belon atau beg plastik telah mencetuskan lebih dari 400 kebakaran di selatan Israel, menurut bomba.

Satu perwakilan Mesir telah melakukan perbincangan antara kedua-dua pihak untuk berusaha memperbaharui gencatan senjata tidak rasmi di mana Israel komited untuk meredakan sekatan Gaza yang berusia 13 tahun bagi mengembalikan ketenangan di sempadan.

Minggu ini utusan Qatar, Mohammed el-Emadi yang menyampaikan bantuan terbaharu berjumlah AS$30 juta ke wilayah itu pada Selasa lalu sebelum mengadakan perbincangan dengan pegawai Israel di Tel Aviv.

Sumber yang dekat dengan perwakilan Qatar mengatakan Israel telah memberitahu Emadi mereka bersedia mengakhiri larangan penghantar bahan bakar untuk loji tenaga Gaza dan meredakan sekatan mereka jika ada penghentian serangan belon api. – AFP