Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Kereta klasik satukan peminat tegar di Lubnan

    BEIRUT – Lebih 65 pemilik kereta klasik berkumpul pada Sabtu lalu di Aley, sebuah bandar di Gunung Lubnan, mempamerkan koleksi kenderaan vintaj dari tahun 1945 hingga 1978 yang diletakkan di dataran bandar itu hingga menarik perhatian ramai yang lalu lalang.

    Wajdi Mrad, datuk bandar Aley dan penganjur acara itu, memberitahu Xinhua bahawa objektif pameran itu adalah untuk mengumpulkan peminat kereta klasik dari seluruh negara untuk berkongsi rasa cinta mereka terhadap vintaj ini dan pengalaman dalam penyelenggaraan kenderaan.

    “Kami juga saling membantu dari segi kewangan untuk memastikan kereta kami diselenggara dengan baik di tengah-tengah krisis semasa,” kata Yasser Tabbara, seorang peserta berusia 65 tahun, kepada Xinhua.

    “Acara ini mencerminkan minat besar rakyat Lubnan kepada kereta klasik,” kata Tabbara di sebelah Chevrolet Camaro Z28 1978 miliknya.

    Beliau menambah kumpulan kereta antik tempatan yang dianggotainya sering bersiar-siar pada hujung minggu di mana pengumpul bertemu dan menikmati pemanduan ke pelbagai destinasi.

    Kelihatan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kereta-kereta vintaj yang dipamerkan. – Xinhua
    Lebih 65 pemilik kereta klasik berkumpul pada Sabtu lalu mempamerkan koleksi kenderaan vintaj dari 1945 hingga 1978 mereka yang diletakkan di dataran bandar di Aley. – Xinhua

    Alaa Dahdouh, seorang pemilik kereta klasik, berkata keindahan kenderaan ini langka dan menarik, dan dia ingin mengekalkannya dengan betul. Bassel Ghosn, seorang peserta yang mempunyai lapan buah kereta klasik, berkata dia meminati kereta klasik sejak dia masih kecil, bercita-cita untuk belajar tentang mekanik dan kerja dalaman.

    “Saya membetulkan hampir setiap masalah dalam kereta saya dan hanya mendapatkan bantuan dengan isu yang rumit,” katanya kepada Xinhua.

    “Kereta klasik ini jarang ditemui dan terkenal pada zaman mereka kerana prestasi tinggi dan reka bentuk yang hebat,” katanya.

    Di sebalik krisis ekonomi negara, mengumpul kereta klasik masih menawarkan keuntungan yang baik.

    Ghosn berkata dia membeli Pontiac Trans Am 1979 miliknya pada harga AS$8,500 dan membayar AS$7,000 lagi untuk melakukan baik pulih, tetapi menjualnya hari ini boleh mengaut keuntungan sekitar AS$10,000.

    “Kereta klasik adalah pelaburan yang sangat baik. Kenderaan itu mengekalkan nilainya dengan baik… bagi kereta moden, ia menyusut apabila tahun-tahun berlalu,” jelas Ghosn.

    Pandangannya dipersetujui oleh Tabbara. “Saya membeli Chevrolet Camaro ini dahulu dengan hanya AS$2,000 dan membayar sekitar AS$10,000 dolar untuk baik pulih kereta itu. Kini saya boleh menjualnya pada harga AS$35,000,” katanya.

    “Tetapi saya tidak akan menjualnya melainkan saya mencari kereta yang lebih cantik,” tambahnya.

    Mrad, penganjur acara itu, berkata peminat kereta vintaj masih membeli tetapi dengan cara yang lebih berhati-hati di bawah keadaan ekonomi semasa.

    Lubnan telah mengalami krisis kewangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, menjerumuskan lebih 80 peratus penduduk ke dalam kemiskinan dan memaksa orang ramai untuk memberi lebih tumpuan kepada keperluan yang paling mendesak. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...