Kereta lampu biru ditahan, pelbagai kesalahan didapati

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Sebuah kereta yang mencurigakan telah ditahan oleh anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semasa rondaan pukul 1 pagi, baru-baru ini, di kawasan Jalan Tutong, Kilanas dan mendapati beberapa kesalahan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, kenderaan bersama pemandunya yang merupakan seorang perempuan warga tempatan berumur 26 tahun ditahan atas kesalahan memandu kenderaan yang dipasang lampu biru di bahagian hadapan.

Siasatan lanjut mendapati pemandu tersebut tidak mempunyai lesen memandu yang sah, cukai jalan mansuh berserta beberapa kesalahan yang lain.

Sejurus pemeriksaan lanjut dijalankan ke atas kenderaan berkenaan juga telah menemukan perkakas yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.

Pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) segera dihubungi bagi menjalankan siasatan dan mengambil alih penyiasatan kes.

Kenyataan menyatakan, antara lain objektif rondaan berkenaan adalah bagi memastikan para pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang telah diperuntukkan di samping menjalankan tugasan memantau, mencegah malah menahan sebarang perilaku yang melanggar undang-undang di negara ini.

PPDB melalui Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas akan sentiasa berusaha dan tidak akan kendur-kendur dalam menanai serta melaksanakan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan demi memastikan penduduk negara ini celik dan peka terhadap keselamatan di jalan raya.

Kereta yang ditahan oleh anggota PPDB semasa rondaan di kawasan Jalan Tutong, Kilanas pada pukul 1 pagi. – Gambar serahan PPDB