Kereta musnah terbakar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Api besar telah membakar keseluruhan sebuah kereta jenis hatchback dalam kejadian yang berlaku di kawasan berdekatan Dewan Bahasa dan Pustaka, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) di sini, hari ini, panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan telah diterima pada pukul 6:55 petang dan enam orang anggota yang diketuai oleh SO Haji Abdul Rahman bin Haji Matamit dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan dikerahkan ke tempat kejadian.

Anggota bomba dan penyelamat bertindak memadamkan kebakaran dengan menggunakan hos reel dan air diperoleh daripada tangki jentera bomba.

Kenyataan menyatakan bahawa pemilik kenderaan ialah seorang lelaki warganegara asing yang telah keluar dengan selamat sebelum jentera bomba sampai di mana punca dan kerugian masih dalam siasatan.

JBP dalam kenyataannya menyarankan orang ramai untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan kebakaran kereta dan menasihatkan mereka untuk mempunyai alat pemadam api jenis Dry Chemical Powder di dalam kereta.

Pihak jabatan juga menyarankan orang ramai untuk sentiasa memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik di kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah supaya pendawaian dibuat itu adalah dengan cara yang betul dan tidak mendatangkan bahaya kebakaran serta bagi kenderaan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah.

Kereta yang mengalami kebakaran dalam kejadian yang berlaku di kawasan berdekatan Dewan Bahasa dan Pustaka Bandar Seri Begawan pada 8 September. – Gambar serahan JBP