Kereta Proton dilindungi Takaful

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Insurans Islam TAIB General Takaful (IITGT) akan menyediakan perlindungan menyeluruh kepada kenderaan Proton yang dibeli pelanggan melalui mana-mana pengedar rasmi di negara ini di bawah penyertaan khas.

Majlis penandatanganan memorandum perjanjian (MoA) antara IITGT dan Econ Motors Sdn Bhd dan Pad Motors Sdn Bhd bagi penyertaan khas berkenaan telah diadakan di Bilik Pameran Proton, Econ Motors, di Perindustrian Beribi hari ini, di mana menandatangani bagi pihak IITGT ialah Pemangku Pengarah Urusan Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd, Hajah Nornaimah binti Haji Zainip dengan disaksikan oleh Pengurus Besar IITGT, Haji Zamrin bin Haji Abdul Ghani.

Sementara itu, Econ Motors Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan yang juga Rakan Urusan Pad Motors Sdn Bhd, Awang Hambali bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Awang Mohd Salleh dengan disaksikan oleh Penolong Pengurus Besar Econ Motors, Tan Pao Chen.

Menandatangani bagi pihak Pad Motors Sdn Bhd ialah Pengarah Urusan, Tan Kah Boon dengan disaksikan oleh Pengurus Pemasaran Proton, Awang Ibnu Sharul bin Dato Seri Laila Jasa Haji Ismail.

Di bawah MoA berkenaan, para pelanggan yang membeli mana-mana kenderaan jenama Proton akan secara automatik dilindungi secara komprehensif menerusi produk Pihak Pertama Motor Takaful IITGT di mana mereka akan mendapat manfaat daripada perlindungan Takaful Am dan bantuan perkhidmatan iCare sekiranya berlaku kerosakan atau kemalangan pada kenderaan berkenaan.

Hadir menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi pihak IITGT ialah Hajah Nornaimah dengan disaksikan oleh Haji Zamrin dan Econ Motors Sdn Bhd diwakili oleh Awang Hambali dengan disaksikan oleh Tan Pao Chen.