Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Satu insiden kebakaran kereta telah dilaporkan berlaku di Jalan Utama Mentiri, kelmarin, di mana api besar membakar keseluruhan sebuah kereta jenis sedan berwarna merah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), empat orang anggota dari Balai Bomba Mentiri, cawangan Operasi A yang diketuai oleh ABK 685 Supian bin Haji Tarif dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 8:02 malam.
Api berjaya dipadamkan dalam masa lima minit dengan sumber air diperoleh dari tangki jentera bomba di samping itu, anggota bomba turut membuka kepala bateri bagi langkah-langkah keselamatan.
Punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan dan tidak ada kemalangan jiwa berlaku.
Sehubungan itu, JBP dalam kenyataannya terus menyarankan orang ramai untuk sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.
Orang ramai juga disarankan untuk sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan kabel terbakar.
Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang ramai disarankan untuk menghubungi terus talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.