MELBOURNE, 14 OKT – Banjir kilat menenggelamkan ratusan buah rumah di bahagian tenggara Australia hari ini, dengan penduduk yang rumah mereka dinaiki air menunggu ‘dengan cemas’ untuk menilai kerosakan.
Kecemasan banjir besar diisytiharkan di Victoria – negeri kedua paling padat penduduk di Australia – di mana paras air meningkat dengan pantas memaksa pemindahan di Maribyrnong, pinggir Melbourne.
Kereta-kereta yang ditinggalkan di pinggir bandar itu ditenggelami oleh banjir, manakala penduduk yang terkandas terpaksa diselamatkan dengan menggunakan bot penyelamat.
Penduduk Maribyrnong, Leah Caluzzi menghabiskan awal pagi hari ini menyelamatkan peralatan suka daripada kelab kriket tempatan.
“Rumah kami dibanjiri air ketika ini, air berada di paras pinggang,” dia memberitahu AFP.
“Kami bernasib baik kerana kedudukan rumah kami berada lebih tinggi sedikit, tetapi banyak rumah di sekeliling sungai terkesan.”
Perdana Menteri Negeri, Daniel Andrews memberitahu wartawan bahawa 500 buah rumah di Victoria telah ‘dibanjiri’, sementara 500 buah rumah lagi dikelilingi oleh air dan terputus daripada perkhidmatan kecemasan.
“Jumlah itu pasti akan terus meningkat,” katanya pada hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Maribyrnong, Betty Ristevesky berkata situasi ketika ini membimbangkan.
“Paras air semakin meningkat dan kami boleh melihatnya di hadapan kami,” katanya kepada AFP.
Meskipun hujan sudah berlalu lewat pagi tadi, namun perkhidmatan kecemasan negeri itu memberi amaran bahawa banjir mungkin menjadi buruk ketika air mengalir ke hilir ke kawasan tadahan sungai yang sudah dilimpahi air.
Walaupun air banjir di beberapa buah kawasan di Melbourne mula surut awal petang tadi, akan tetapi lebih banyak perkara buruk menanti di beberapa buah negeri. – AFP