Kereta sport, dadah, kematian: Kolonel polis disiasat

BANGKOK, 26 OGOS – Pihak berkuasa Thailand hari ini memberkas pegawai polis kelima berkaitan dengan kematian seorang pengedar dadah yang didakwa dibunuh dalam tahanan meskipun cuba memberi suapan, ketika polis sedang mencari dua lagi yang lain, termasuk ketua penyeludup iaitu seorang kolonel polis yang dikatakan hidup mewah kerana rasuah.

Seorang sarjan polis dari balai polis daerah Muang, sebuah wilayah utara Bangkok, diberkas lewat semalam.

Semua lima suspek kini ditahan, termasuk seorang mejar dan seorang kapten dihadapkan ke mahkamah yang dijadualkan menjatuhkan hukuman ke atas mereka sama ada atas dakwaan mengabaikan tugas, penderaan dan pembunuhan.

Pihak berkuasa juga sedang mencari seorang leftenan polis dan juga Kolonel Thitisan Uttanaphon yang merupakan ketua balai di wilayah Nakhon Sawan dan hilang sejurus video yang menunjukkan dia mengarahkan serangan ke atas suspek membawa kepada kematian lelaki berusia 24 tahun itu, muncul di media sosial.

Kolonel tersebut yang digelar ‘Jo Ferrari’ kerana minatnya terhadap kereta sports, mempunyai koleksi 29 kereta mewah bernilai lebih 100 juta baht (AS$3 juta), sebahagian lagi disimpannya di kediamannya di Bangkok bernilai kira-kira 60 juta bhat (AS$1.8 juta), media Thailand melaporkan. – AP

Dua daripada lima orang polis dituduh membunuh seorang suspek dadah di Nakhon Sawan. Skandal polis itu melibatkan lima orang polis yang salah seorang daripadanya ialah kolonel dengan gaya hidup mewah kerana rasuah dan kini sedang diburu. –AP