Kereta sport elektrik inovatif

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 DIS – Porsche Brunei, diwakili oleh pengimport dan pengedar rasminya, QAF Eurokars Sdn Bhd telah memperkenalkan kereta sport elektrik serba boleh, Porsche Taycan Cross Turismo baharu ke pasaran Brunei hari ini.

Kereta berkenaan telah diperkenalkan pada perhimpunan kecil yang diadakan Porsche Centre Brunei, hari ini, selepas lama syarikat itu menyepi daripada penganjuran acara disebabkan sekatan pergerakan berkaitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Majlis yang dihadiri seramai 20 tetamu daripada organisasi media tempatan bersama kakitangan dan pihak pengurusan dari QAF Eurokars itu diadakan bagi mengukuhkan lagi hubungan bersama pengamal media.

Pengurus Besar QAF Eurokars, Lahiru De Silva semasa berucap pada majlis itu berkata, tahun ini merupakan satu perjalanan yang agak sukar bagi mereka, bukan suatu yang mudah, tetapi pastinya yang luar biasa.

“Walaupun dalam keadaan yang mencabar, kami telah membuktikan daya tahan kami, dan daya tahan Porsche, mencapai lonjakan 40 peratus dalam jualan tahun ke tahun, dengan kira-kira 20 peratus jualan kami datang daripada model Porsche elektrik.

QAF Eurokars Sdn Bhd perkenalkan Porsche Taycan Cross Turismo baharu ke pasaran Brunei.

“Memandangkan kita mengalu-alukan kedatangan tahun baharu, usaha kami adalah untuk terus menjadi jenama yang didorong oleh semangat perintis, dikuasakan oleh inovasi dan kami berharap untuk terus mengekalkan impian kereta sport hidup,” tambah Lahiru De Silva.

Malam penghargaan media itu diadakan dengan pematuhan ketat SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Porsche Brunei, Porsche Taycan Cross Turismo adalah kereta sport semua elektrik yang lasak dengan keupayaan serba boleh off-road.

Kereta itu menampilkan teknologi 800 volt yang inovatif untuk pengecasan pantas, keluasan yang mengagumkan, melengkapkan rangkaian model Taycan sedia ada dengan fleksibiliti praktikalnya.

Casis berteknologi tinggi baharu dengan pacuan semua roda dan suspensi udara adaptif memastikan dinamik tanpa kompromi, kedua-dua di atas dan luar jalan.

Ia dibangunkan secara optimum untuk pengembaraan di mana Performance Battery Plus, yang mempunyai jumlah kapasiti 93.4 kWj, dipasang sebagai standard merentasi rangkaian model Cross Turismo.

Rangkaian model Taycan Cross Turismo di Brunei terdiri daripada Taycan 4 Cross Turismo dengan 280 kW (380 PS); Taycan 4S Cross Turismo dengan 360 kW (490 PS) dan Taycan Turbo Cross Turismo dengan 460 kW (625 PS).

Taycan Cross Turismo adalah 20 mm lebih tinggi berbanding Taycan salon. Dengan pilihan pakej Offroad Design, ground clearance ditingkatkan sehingga 30 mm. Ini bermakna Cross Turismo boleh dipandu di kawasan off-road yang mencabar, terutamanya dengan mod Gravel baharu yang eksklusif untuk Cross Turismo.

Taycan Cross Turismo akan tersedia untuk tontonan awam di Porsche Centre Brunei dalam beberapa minggu akan datang.