Kereta terbabas rempuh tiang lampu jalan

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Seorang pemandu lelaki warganegara Malaysia berjaya keluar dengan selamat dari sebuah kenderaan salon berwarna hitam yang terlibat dalam kemalangan sendiri di Kampung Lakiun, Jalan Labu, kelmarin.

Sejurus menerima panggilan, sebuah jentera bersama lima orang anggota dari Balai Bomba Bangar yang diketuai oleh Ahli Bomba Kelas Satu No.32 Tan Hoi Lim telah dikejarkan ke tempat kejadian kira-kira pukul 6:04 petang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, apabila anggota bomba dan penyelamat sampai di tempat kejadian, mereka mendapati sebuah kenderaan terbabas di tepi jalan selepas melanggar tiang lampu di tepi jalan raya.

Bagi langkah keselamatan, ahli bomba segera segera bertindak membuka kepala bateri kereta berkenaan.

Mangsa turut mengalami cedera ringan dan diserahkan kepada pihak paramedik untuk dibawa ke Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Bangar menggunakan ambulans.

Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang di jalan raya dan berhati-hati semasa memandu serta tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memastikan memandu dalam keadaan sihat atau tidak mengantuk dan tidak mengambil mana-mana minuman memabukkan yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.

JBP juga menasihatkan orang ramai untuk membuat pemeriksaan kereta di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah bagi mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku.

Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang ramai bolehlah menghubungi talian kecemasan 995 dengan memberi maklumat yang tepat.

Anggota JBP ketika memeriksa kenderaan berkenaan selepas kemalangan tersebut berlaku. – Gambar serahan JBP