Kereta terbakar, lima selamat

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Sebuah kenderaan jenis salon rosak teruk dijilat api dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Lebuh raya Seria-Lumut Bypass kelmarin.

Pemilik kereta berkenaan yang merupakan seorang lelaki bersama empat orang penumpang yang kesemuanya warga tempatan telah keluar dari kereta itu dengan selamat dengan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum jentera bomba sampai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan telah diterima pada pukul 1:47 petang dan dua buah jentera dari Balai Bomba Seria dikerahkan ke tempat kejadian dengan diketuai oleh ASO Musa bin Aman. Apabila tiba, anggota bomba mendapati keseluruhan bahagian depan kenderaan berkenaan terbakar.

Anggota bomba dan penyelamat bertindak memadamkan kebakaran dengan menggunakan satu jet hos reel dan mengeluarkan satu aliran hos yang mana air diperoleh daripada jentera bomba dengan api dapat dikawal dalam masa tiga minit.

Susulan kejadian itu, JBP ingin menyarankan kepada orang ramai untuk lebih peka dalam mengetahui aspek keselamatan kebakaran bagi menghindarkan kejadian kebakaran kereta daripada berlaku.

JBP juga ingin menasihatkan orang ramai untuk sentiasa membuat penyelenggaraan yang berjadual bagi kenderaan mereka, memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik di kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah supaya pendawaian dibuat itu adalah betul dan tidak mendatangkan bahaya kebakaran.

Selain itu, orang ramai juga disarankan untuk memiliki alat pemadam api jenis debu kering di dalam kereta serta bagi kenderaan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah.

Orang ramai turut disarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah berhubung terus ke talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Anggota JBP ketika memadamkan kebakaran kereta di Lebuh raya Seria-Lumut Bypass pada 18 Julai lalu.