Kereta terbakar, mangsa terselamat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Satu lagi insiden kebakaran kereta telah dilaporkan berlaku di kawasan berdekatan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Nakhoda Ragam, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, panggilan kecemasan insiden berkenaan telah diterima pada pukul 7:32 pagi.

Sehubungan itu, tujuh orang anggota dari Balai Bomba Lambak Kanan yang diketuai oleh ABK 150 Abdul Rahman bin Haji Edin dikejarkan ke tempat kejadian di mana didapati api besar membakar keseluruhan sebuah kereta jenis hatchback bermula dari bahagian enjin kereta.

Anggota bomba bertindak memadamkan kebakaran dengan menggunakan satu jet hos reel dan air diperoleh daripada jentera bomba di mana api dapat dikawal dalam masa tiga minit.

Kenyataan menyatakan bahawa pemilik kenderaan ialah seorang lelaki warganegara Filipina yang telah keluar dengan selamat sebelum jentera bomba sampai serta tidak mendapat sebarang kecederaan di mana punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Sehubungan dengan ini, JBP terus menyarankan orang ramai untuk membuat penyelenggaraan berjadual bagi kenderaan mereka serta menasihatkan mereka untuk mempunyai alat pemadam api di dalam kereta.

Orang ramai juga disarankan untuk sentiasa memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik di kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah supaya pendawaian dibuat itu adalah dengan cara yang betul dan tidak mendatangkan bahaya kebakaran serta bagi kenderaan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah.

Kereta jenis hatchback yang mengalami kebakaran keseluruhan dalam kejadian yang berlaku di kawasan berdekatan IBTE Nakhoda Ragam, pagi kelmarin. – Gambar serahan JBP