Kereta terbakar, mangsa terselamat

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Satu panggilan kecemasan melibatkan insiden kebakaran sebuah kereta sedan di kawasan Kampung Sungai Tilong, Daerah Brunei dan Muara diterima oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) baru-baru ini.

Sejurus menerima panggilan, dua buah jentera dari Balai Bomba Lambak Kanan yang diketuai oleh Pemangku Pegawai Balai, Haji Mohamad Noor bin Haji Ahad telah dikejarkan ke tempat kejadian pada jam 12:43 tengah hari.

Setibanya anggota bomba di tempat tersebut, mereka mendapati api besar membakar keseluruhan kereta berkenaan dan anggota bomba segera bertindak memadam kebakaran itu menggunakan air yang diperolehi daripada tangki jentera bomba.

Tidak ada korban jiwa dilaporkan dan punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai agar sentiasa meningkatkan pengetahuan tentang keselamatan kebakaran kereta dan memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik pada kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah supaya pendawaian yang dibuat itu adalah dengan cara yang betul dan tidak mendatangkan bahaya kebakaran.

JBP juga menasihatkan orang ramai untuk memiliki satu atau dua alat pemadam api jenis Dry Chemical Powder di dalam kereta dan bagi kenderaan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah.

Dalam pada itu, JBP juga ada menyediakan program-program keselamatan seperti Kursus Marsyal Bomba, Life Saver 995 dan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.

Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang awam hendaklah berhubung terus ke JBP melalui talian kecemasan bomba 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Keadaan kereta tersebut yang ranap dijilat api.