Kereta terbakar: Pemandu, penumpang terselamat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Seorang pemandu dan penumpang lelaki warganegara tempatan berjaya keluar dari sebuah kereta apabila kenderaan yang dinaiki mengalami kebakaran di bahagian enjin pada kejadian yang berlaku berdekatan padang bola, Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi A, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, panggilan mengenai kejadian itu diterima pada pukul 5.17 petang dan dua buah jentera bersama 12 orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh Pegawai Balai, Haji Ali bin Haji Mohammad dikejarkan ke tempat kejadian.

Kenyataan menyatakan bahawa apabila anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian, mereka mendapati api besar membakar keseluruhan bahagian enjin kereta.
Anggota bomba dan penyelamat berada di tempat kejadian bertindak memadamkan api menggunakan jet hos reel daripada jentera bomba.

Kenyataan menjelaskan lagi bahawa punca dan kerugian daripada kejadian berkenaan masih dalam siasatan.

JBP dalam kenyataan itu lagi, menyarankan orang ramai untuk meningkatkan pengetahuan tentang keselamatan kebakaran kereta, memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik di kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah supaya pendawaian yang dibuat adalah dengan cara yang betul dan yang tidak mendatangkan bahaya kebakaran.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk mempunyai alat pemadam api di dalam kereta serta bagi kenderaan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah.

Mereka turut disarankan jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah menghubungi terus ke Pusat Gerakan JBP di talian, 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Anggota bomba dan penyelamat bertindak memadamkan kebakaran pada bahagian enjin kereta berkenaan. – Gambar serahan JBP