Kereta terbakar, pemandu selamat

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Seorang lelaki warga tempatan berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan apabila kereta yang dipandunya terbakar dalam kejadian yang berlaku berdekatan dengan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Khalthum Al-Islam, Mulaut, petang kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Cawangan Operasi F, Daerah Brunei dan Muara, di sini, hari ini, panggilan bagi kejadian berkenaan diterima pada pukul 3:16 petang dan dua buah jentera dari Balai Bomba Jerudong bersama 11 orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh DSO Misli bin Haji Pungut dikejarkan ke tempat kejadian.

JBP menyatakan lagi bahawa apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba dan penyelamat mendapati api besar membakar keseluruhan sebuah kereta yang berwarna hitam dan mereka bertindak dengan segera untuk memadamkan api dengan menggunakan satu jet hos, 66 mm ke 38 mm.

Siasatan yang dijalankan mendapati bahawa punca api dipercayai daripada Brake Jammed di bahagian hadapan iaitu kiri dan kanan dengan kerugian dianggarkan kira-kira $3,500.

Kenyataan turut menyatakan bahawa pegawai-pegawai yang turut hadir di kawasan kejadian berkenaan ialah tiga orang pegawai dan anggota dari Bahagian Pegawai Penguatkuasaan Undang-undang dan Penyiasatan yang diketuai oleh Pemangku SFR Pengiran Noor Faridahwati binti P.S.M Pengiran Anak Omar Alli.

Anggota bomba dan penyelamat bertugas untuk memadam kebakaran pada sebuah kereta, kelmarin.