Kereta terbakar, pemandu selamat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) sekali lagi menyarankan orang ramai untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan kebakaran kereta dan menasihatkan mereka untuk mempunyai alat pemadam api jenis Dry Chemical Powder dalam kereta.

Saranan ini terus ditekankan oleh JBP berikutan satu lagi panggilan kecemasan insiden kebakaran kereta diterima pada pukul 8:36 pagi di kawasan Kampung Madewa, Jalan Tutong, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, enam orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh SO Abdul Majid bin Haji Abdul Wahab dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan, dikerahkan ke tempat kejadian di mana didapati api kecil membakar sebahagian enjin sebuah kereta.

Anggota bomba bertindak memadamkan kebakaran dengan menggunakan satu hos reel dan air diperoleh daripada tangki jentera bomba.

Kenyataan menyatakan bahawa pemilik kenderaan ialah seorang lelaki warganegara tempatan yang telah keluar dengan selamat sebelum jentera bomba sampai di mana punca dan kerugian masih dalam siasatan.

JBP turut menyarankan orang ramai untuk sentiasa memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik di kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah supaya pendawaian dibuat itu adalah dengan cara yang betul dan tidak mendatangkan bahaya kebakaran serta bagi kenderaan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah.

Orang ramai turut disarankan untuk menghubungi talian kecemasan 995 jika berlaku sebarang insiden kecemasan dan memberikan maklumat yang tepat.

Kereta yang mengalami kebakaran di bahagian enjin dalam kejadian yang berlaku di kawasan Kampung Madewa, Jalan Tutong, kelmarin. – Gambar serahan JBP