Kereta terbakar sekitar 4 pagi

Oleh Sim Y.H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Sebuah kereta yang terbakar enjinnya berjaya dipadamkan dalam masa tiga minit oleh anggota bomba dan penyelamat pada kejadian yang berlaku di Kampung Sengkarai awal pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), hari ini, seramai 11 orang anggota bomba dari Balai Bomba Tutong yang diketuai oleh DSO Haji Musa dikejarkan ke lokasi kebakaran di Jalan Pengasing, Kampung Sengkarai Tutong pada jam 4:32 pagi.

Semasa tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati api kecil membakar keseluruhan bahagian enjin, jenis kereta salun yang dalam keadaan statik.

Pemilik kereta berkenaan merupakan seorang warganegara tempatan dan tidak ada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan semasa kejadian dengan punca api serta anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan.

JBP menyarankan supaya orang ramai dan para pengguna sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti memastikan tiada sebarang kebocoran pam yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik dan sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan kabel terbakar dan kebakaran.