Kereta terbakar selepas kemalangan sendiri

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Satu insiden kebakaran kereta telah dilaporkan berlaku baru-baru ini, di kawasan Jalan Junjongan di mana kereta berkenaan terbakar keseluruhannya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), lapan orang anggota dari Balai Bomba Pengkalan Batu, Cawangan Operasi F yang diketuai oleh DSO Zulkefle bin Haji Ali, telah dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 3:15 pagi.

Kenyataan menyatakan, kereta berkenaan telah terlibat dalam kemalangan sendiri, melanggar tiang lampu jalan raya dan terbakar.

Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memakai alat pernafasan dan memadam kebakaran itu dengan menggunakan air daripada jentera bomba di mana api dapat dipadamkan keseluruhannya dalam masa 10 minit.

Kenyataan menyatakan bahawa pemandu kenderaan berkenaan berjaya keluar dari kereta sebelum anggota bomba dan penyelamat sampai di tempat kejadian dengan punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

Dalam kenyataan itu, JBP terus menyarankan orang ramai untuk sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti memastikan tiada sebarang kebocoran pam yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.

Orang ramai juga disarankan untuk sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan kabel terbakar dan kebakaran.

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran kereta yang berlaku di kawasan Jalan Junjongan, baru-baru ini. – Gambar serahan JBP