Kereta terbiar timbulkan pelbagai keburukan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Penduduk dan penyewa yang tinggal di bangunan jenis rumah kedai di Simpang 646, Jalan Tutong menimbulkan rasa bimbang terhadap kereta lama yang terbiar dan usang yang diletakkan di jalan laluan bangunan berkenaan.

Keadaan ini bukan saja menjejaskan pemandangan malah menimbulkan keburukan dari segi kebersihan, keindahan dan keselamatan sekali gus membahayakan keselamatan penduduk dan penyewa di kawasan tersebut.

Sejak kereta usang terbiar di kawasan berkenaan, ia telah menarik binatang berbisa tinggal di sana sekali gus menjadi tempat pembiakan nyamuk dan lalat akibat takungan air dalam kereta berkenaan dan sekumpulan monyet turut menjadikannya tempat untuk mengganggu keharmonian penduduk dan penyewa bangunan berkenaan.

Sehubungan itu, penduduk dan penyewa di bangunan berkenaan menyeru pihak berkenaan untuk mengambil langkah segera dalam menangani masalah yang dihadapi dan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab yang menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat meninggalkan kereta usang.

ATAS & BAWAH: Penduduk dan penyewa menyeru pihak berkenaan untuk mengambil langkah segera dalam menangani masalah yang dihadapi dan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab.