Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) Sdn Bhd dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, telah mengesahkan menerima laporan dari Stesen Minyak Mar’azmala Kampung Jerudong dan juga aduan daripada pelanggan-pelanggan mengenai kereta-kereta yang terhenti selepas membeli minyak dari stesen minyak berkenaan.
Menurut kenyataan itu lagi, perkara itu juga menjadi tular di media sosial.
Setelah menerima laporan berkenaan, jelas BSM, stesen itu telah pun ditutup daripada beroperasi dan ia hanya akan dibuka semula setelah disahkan bebas daripada pencemaran air.
Kenyataan menyatakan bahawa usaha-usaha pemulihan sedang giat dijalankan oleh pihak stesen minyak dengan bantuan dari BSM.

BSM ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa siasatan telah pun dijalankan dan mengesahkan hanya sebuah stesen minyak sahaja yang terjejas.
Dalam pada itu, BSM ingin menasihatkan pemilik-pemilik kereta yang terjejas untuk menghadapkan terus aduan mereka kepada penyelia stesen minyak berkenaan atau dihubungi melalui talian 2610772.
Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pusat Pelanggan BSM di talian 2244739 dan WhatsApp 7172648.