Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kereta terlibat dalam kemalangan terbakar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Sebuah kereta terbakar selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain di kawasan Kampung Parit pada 31 Mei lalu.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa lapan orang anggota dari Balai Bomba Pangkalan Batu, Cawangan Operasi F yang diketuai oleh DSO Serudin bin Haji Osman, dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 4:43 petang.

    Menurut jabatan itu, dua buah kereta telah terlibat dalam kemalangan yang mana salah sebuah kereta telah terbakar keseluruhannya sementara sebuah lagi telah terbabas ke dalam longkang.

    Pemandu dan penumpang kedua-dua buah kereta berkenaan telah pun keluar sebelum jentera bomba sampai dan telah dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha oleh orang awam menggunakan kereta sendiri.

    Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memadam kebakaran itu dan membuka kepala bateri sebuah lagi kereta yang terlibat dalam kemalangan itu bagi mengelakkan terjadinya kebakaran.

    Kenyataan menyatakan bahawa api dapat dikawal dalam masa 1 minit dan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. Dalam kejadian berkenaan, mangsa hanya mendapat kecederaan ringan.

    JBP terus menyarankan orang ramai khususnya pengguna untuk memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik serta pengguna sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan kabel terbakar dan kebakaran.

    Anggota bomba dan penyelamat memadamkan kebakaran pada sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan antara dua buah kereta di kawasan Kampung Parit, pada petang 31 Mei lalu. – Gambar serahan JBP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...